39 ahli sindiket bangunkan laman sesawang, perisian judi diberkas
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket yang membangun dan menyelenggara laman sesawang serta perisian judi dalam talian melalui serbuan di sekitar Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata serbuan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berdasarkan maklumat risikan.
Menurutnya, sindiket berkenaan didapati beroperasi disebalik dua syarikat berasaskan teknologi maklumat dan pengaturcaraan komputer bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Syarikat berkenaan turut menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan judi secara dalam talian dan perisian atas permintaan pelanggan dari dalam dan luar negara.
“Hasil serbuan yang dijalankan, seramai 39 individu berusia lingkungan 23 hingga 49 tahun terdiri daripada 22 lelaki dan 10 wanita tempatan serta lima lelaki dan dua wanita warga asing berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pelbagai barangan turut dirampas membabitkan 30 unit komputer riba, sembilan unit komputer, 47 telefon bimbit, tiga modem, tiga router dan satu pasport.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama empat hari dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“PDRM sentiasa komited dalam menjalankan tindakan siasatan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan judi dalam talian.
“Orang awam perlu memainkan peranan dalam menyekat aktiviti promosi judi dalam talian di laman sosial mahupun aplikasi telefon pintar dengan menyalurkan maklumat kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya. – Malaysiapost