4 ADUN Bersatu tetap hadir Sidang DUN Pulau Pinang Isnin ini

4 ADUN Bersatu tetap hadir Sidang DUN Pulau Pinang Isnin ini

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang berdepan risiko kehilangan kerusi jika usul pengosongan kerusi mereka dibawa dalam Sidang DUN Pulau Pinang, Isnin ini, menegaskan tetap akan menghadiri sidang berkenaan.

ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, berkata meskipun dijangka akan disingkirkan selepas usul itu diluluskan, mereka akan mempertahankan kedudukan masing-masing ketika sesi perbahasan usul berkenaan.

“Kami akan hadir memandangkan usul itu disampaikan kepada semua ADUN 14 hari sebelum persidangan dan dijangka selepas habis sesi soal jawab dan soalan lisan saya percaya usul itu akan dibahaskan.

“Selepas ia diluluskan jika diikutkan kena keluar (dewan) tetapi kita tengoklah dulu sama ada kami mahu keluar atau tidak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Tiga lagi ADUN yang terbabit adalah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam), dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilapor berkata sidang Dun Isnin ini akan membentangkan usul pengosongan empat kerusi terbabit susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang melarang wakil rakyat lompat parti.

Mengulas lanjut, Dr Afif berpandangan kerajaan negeri cuba merampas mandat pengundi yang memilih mereka sebagai wakil rakyat dan menyekat mereka berada di dalam DUN Pulau Pinang.

“Kami disekat menghadiri mesyuarat dan mewakili rakyat di kawasan masing-masing serta undang-undang ini tampak bermasalah dan mempunyai kemungkinan boleh disalah guna pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Dominic Lau turut menyifatkan usul pengosongan kerusi empat ADUN pembangkang itu sebagai dwi standard dan tidak adil.

“Jika mengambil kira tanggapan kerajaan negeri mengikut akta lompat parti ini, maknanya calon DAP dan Amanah yang menang juga dianggap melompat parti,” katanya. – Malaysiapost

Komen