40,648 mangsa banjir di 6 negeri terjejas
JUMLAH keseluruhan mangsa banjir kini dilaporkan seramai 40,648 mangsa daripada 11,776 keluarga dengan Selangor menjadi negeri keenam selain Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak yang dilanda bencana berkenaan setakat jam 6 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,198 mangsa daripada 10,746 keluarga yang ditempatkan di 238 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas.
Daerah Segamat merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 13,358 mangsa, diikuti Batu Pahat (7,253 mangsa), Kluang (5,288 mangsa), Muar (3,330 mangsa), Kota Tinggi (3,292 mangsa),Tangkak (2,661 mangsa), Mersing (955 mangsa), Johor Bahru (699 mangsa)dan Pontian (362 mangsa).
Pahang mencatatkan jumlah mangsa seramai 2,311 penduduk daripada 703 keluarga dipindahkan ke 32 PPS di enam daerah yang terjejas iaitu Rompin (1,899 mangsa), Temerloh (254 mangsa), Pekan (106 mangsa), Bera (29 mangsa), Maran (13 mangsa) dan Jerantut (10 mangsa).

Negeri Sembilan pula merekodkan seramai 783 mangsa daripada 235 keluarga dipindahkan ke tujuh PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Tampin (718 mangsa) dan Jempol (65 mangsa).
Sementara itu, Melaka mencatatkan seramai 260 mangsa daripada 70 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Jasin (248 mangsa) dan Alor Gajah (12 mangsa).
Manakala Sarawak merekodkan seramai 14 mangsa daripada lima keluarga yang dipindahkan ke satu di Sarikei.
Keadaan banjir di Selangor pula membabitkan daerah Petaling dengan seramai 82 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan di satu PPS setakat awal pagi ini. – Malaysiapost