Abdul Hadi tetap terus ceramah di masjid, surau
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetap akan meneruskan ceramah di masjid dan surau seperti biasa walaupun wakil rakyat di Terengganu dilarang berbuat demikian.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, ia bukan satu kesalahan untuk ahli politik memberi kuliah atau ceramah di masjid kerana dalam Islam sendiri, politik dan agama tidak boleh dipisahkan.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa larangan berkenaan ditimbulkan semula kerana ia telah ada sejak dulu lagi.
“Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau dan masjid.
“Kenapa dibangkitkan balik arahan tersebut?. Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan,” katanya hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), yang melarang ahli politik menggunakan masjid dan surau di Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilapor berkata, larangan bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Jelas Abdul Hadi, beliau tetap akan menjalankan tanggungjawab untuk menegur mereka yang salah sama ada berkaitan hal ehwal ekonomi atau politik.
“Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam, maka politik Islamlah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap.
“Benda yang tak betul kita kena tegur, sama ada hal ehwal ekonomi, politik. Yang salah wajib untuk orang Islam tegur termasuk amal makruf nahi mungkar,” katanya. – Malaysiapost