Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MCA
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MCA, Tan Sri Lee San Choon yang telah meninggal dunia semalam.
Ucapan takziah Paduka Baginda berdua dizahirkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada masyarakat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Mendiang San Choon, 88, semasa hayatnya pernah berkhidmat sebagai Presiden MCA bermula pada tahun 1975 hingga bersara daripada arena politik pada tahun 1983.
Mendiang yang dilahirkan di Pekan, Pahang, juga pernah dilantik memegang beberapa portfolio menteri antaranya Menteri Buruh, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dan Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Penyelaras Kampung Baru.
Di awal pembabitan dalam dunia politik, mendiang pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Kluang Utara dan memenangi kawasan itu pada tahun 1959, ketika mendiang baru sahaja berumur 24 tahun.
Mendiang juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda MCA dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Perikatan. – Malaysiapost