Banjir: Balai Polis Panchor ditutup

Banjir: Balai Polis Panchor ditutup

BALAI Polis Panchor di Muar ditutup sementara hari ini selepas dinaiki air susulan bencana banjir yang melanda daerah itu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, balai berkenaan diarah tutup kira-kira jam 9 pagi tadi selepas limpahan air semakin tinggi.

Beliau berkata, tiga keluarga anggota yang menetap di kuarters balai tersebut juga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

“Balai Polis Panchor ditutup sementara kerana terkesan dengan banjir dan sebarang urusan yang membabitkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai berhampiran.

“Rondaan berkala oleh pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir juga digiatkan bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa terjejas sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz berkata, sebanyak tujuh laluan di tutup kepada semua jenis kenderaan di daerah itu berikutan berlaku limpahan air.

“Laluan di kawasan sekitar balai juga ditutup kerana paras air semakin tinggi iaitu Jalan Muar – Labis, Kampung Jawa.

“Selain itu, turut ditutup adalah Jalan Muar – Labis, Jambatan Sungai Tui; Jalan Tekam Pagoh, Kebun Kelapa Sawit dan Jalan Durian Chondong, Jambatan Sungai Muar.

“Jalan Renchong – Gombang, Sungai Menchil; Jalan Kampung Liang Batu, Masjid Kampung Liang Batu dan Jalan Muar – Labis berhampiran pasaraya Speedmart Lenga juga kini ditutup,” katanya.

Menurutnya, setakat petang ini, sebanyak 19 PPS telah dibuka bagi seluruh Muar membabitkan seramai 3,278 orang daripada 952 keluarga. – Malaysiapost

Komen