Bendahari Bersatu dibebaskan SPRM semalam

Bendahari Bersatu dibebaskan SPRM semalam

BENDAHARI Bersatu, Datuk Mohd Salleh Bajuri yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, hari ini.

“Saya dimaklumkan Mohd Salleh telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dapat balik ke rumahnya pada tengah hari Jumaat,” katanya lapor Sinar Harian.

Razali yang mendakwa duit berkenaan tidak dimasukkan dalam akaun peribadi Mohd Salleh , menyifatkan penahanan Bendahari Bersatu itu sebagai tindakan untuk memburukkan parti itu.

“Saya difahamkan bukan ada kemasukan (duit) dalam akaun peribadi Mohd Salleh. Beliau hanya menjaga akaun parti malah akaun tersebut diaudit setiap tahun dan ini bermaksud akaun itu bersih selain tiada kemasukan yang meragukan.

“Jadi saya melihat kalau macam ini caranya maka saya jangkakan akan ada ramai lagi pemimpin Bersatu ditangkap dan disiasat oleh SPRM,” dakwanya.

Justeru, Razali menggesa kerajaan untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik bagi mengetahui sumber kewangan atau dana diperoleh sesebuah parti politik.

“Laksanakan Akta Pendanaan Politik. Biar jelas dari sumber mana yang boleh diambil.

“Parti politik mesti dan wajib ada sumber kewangan untuk bergerak. Sekarang cadang akta tersebut dilaksanakan segera pada sesi Parlimen, barulah tahu setakat mana duit itu diperoleh,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Salleh ditahan untuk membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.

Difahamkan pemimpin Bersatu itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Mohd Salleh kemudian ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.

Pada 1 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor juga sudah dipanggil SPRM pada 16 Februari bagi memberi keterangan berkaitan isu membabitkan wang RM300 juta disyaki diterima parti Bersatu. – Malaysiapost

Komen