Hampir 41,000 mangsa banjir di 6 negeri dipindahkan
SITUASI banjir seluruh negara menunjukkan sedikit peningkatan pada jam 12 tengah hari tadi dengan jumlah mangsa kini seramai 40,853 orang daripada 11,837 keluarga berbanding 40,648 mangsa daripada 11,776 keluarga pada 6 pagi tadi.
Berdasarkan laporan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan jumlah mangsa seramai 37,258 mangsa daripada 10,792 keluarga yang ditempatkan di 240 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah yang terjejas.
Daerah Segamat merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 12,900 mangsa, diikuti Batu Pahat (7,830 mangsa), Kluang (5,285 mangsa), Muar (3,278 mangsa), Kota Tinggi (3,283 mangsa),Tangkak (2,661 mangsa), Mersing (964 mangsa), Johor Bahru (699 mangsa)dan Pontian (358 mangsa).
Pahang mencatatkan jumlah mangsa seramai 2,383 penduduk daripada 726 keluarga dipindahkan ke 21 PPS di enam daerah yang terjejas iaitu Rompin (1,912 mangsa), Temerloh (297 mangsa), Pekan (106 mangsa), Bera (29 mangsa), Maran (29 mangsa) dan Jerantut (10 mangsa).
Negeri Sembilan pula merekodkan seramai 715 mangsa daripada 192 keluarga dipindahkan ke empat PPS di daerah Tampin membabitkan seramai 718 mangsa, manakala PPS di Jempol sudah ditutup.
Sementara itu, Melaka mencatatkan seramai 380 mangsa daripada 97 keluarga yang ditempatkan di enam PPS di dua daerah yang terjejas iaitu Jasin (365 mangsa) dan Alor Gajah (15 mangsa).
Manakala Sarawak merekodkan seramai 14 mangsa daripada lima keluarga yang dipindahkan ke satu PPS di Sarikei.
Keadaan banjir di Selangor juga meningkat dengan satu lagi daerah terjejas iaitu Kuala Selangor dengan 21 mangsa dipindahkan di satu PPS, manakala daerah Petaling seramai 82 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan di satu lagi PPS. – Malaysiapost