Idrus dilantik semula, mungkin ada kerja belum selesai – Azalina
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan terlibat dalam pelantikan semula Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara.
Beliau menegaskan pelantikan itu adalah atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Saya secara peribadi tidak terlibat dalam proses menyambung semula Peguam Negara ini kerana ia bertanggungjawab ke atas Perdana Menteri bukan kepada saya walaupun selaku Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.
“Saya hendak tekankan bahawa mungkin Perdana Menteri ada alasan sendiri untuk sambung khidmat Peguam Negara selama enam bulan, saya tak tahu tetapi mungkin juga kerana ada kerja belum selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Celik Kewangan, Klinik Insolvensi dan Klinik Bantuan Guaman di Dewan Semai Bakti, Felda Tunggal, hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dilaporkan berkata, Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara selama enam bulan berkuat kuasa Isnin depan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang memaklumkan pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) dijangka akan dibawa dalam sesi Parlimen pada awal April ini.
Katanya, pindaan itu akan dapat menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan di negara ini menyasarkan pelepasan 130,000 orang daripada 290,000 kes yang majoritinya adalah golongan belia Melayu. – Malaysiapost