KWSP umum dividen berjumlah RM51.14 bilion
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hari ini mengumumkan kadar dividen 5.35 peratus untuk simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan shariah membabitkan pembayaran keseluruhan dividen sebanyak RM51.14 bilion untuk 2022.
Bayaran dividen simpanan konvensional adalah sebanyak RM45.44 bilion, manakala simpanan shariah sebanyak RM5.70 bilion.
Setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar lebih rendah iaitu RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong ketidaktentuan pasaran dan nilai pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah bersyukur, di sebalik kemelesetan pasaran global yang berterusan pada 2022, portfolio pelaburan KWSP kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan ini dengan impak yang minimum.
Menurutnya, ia sebahagian besarnya dipacu oleh strategi yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP.
Beliau berkata, portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkan KWSP untuk mengekalkan aset pelaburannya melebihi RM1 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.
“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif.
“Kami percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari perspektif jangka masa panjang.
“Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tahun kewangan 2022 menyaksikan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi.
Beliau berkata, pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama.
“Sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan.
“Ketidakstabilan geopolitik juga adalah faktor utama mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah melonjakkan harga komoditi, ditambah dengan pergolakan antara AS dan China,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri berkata, walaupun prestasi lemah pasaran ekuiti, tidak semua sektor terjejas kerana beberapa sektor, seperti tenaga, perladangan, perkhidmatan kewangan dan keperluan asas pengguna, mencatatkan prestasi yang agak baik berbanding sektor lain.
Menurutnya, strategi kepelbagaian KWSP merentasi pelbagai sektor dan geografi telah berkesan dalam memanfaatkan peluang keuntungan dan menjana pulangan.
Beliau berkata, kejayaan KWSP dalam menyampaikan dividen secara konsisten mengatasi dana domestik lain, telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu pelabur institusi terkemuka negara.
Katanya, ia juga telah menyumbang kepada simpanan ahli, yang akhirnya diterjemahkan kepada jaminan kewangan yang lebih besar untuk tahun persaraan ahli.
“Komitmen kami untuk meningkatkan simpanan ahli menjadi penggerak di sebalik kejayaan ini, dan kami berdedikasi untuk menyampaikan dividen yang unggul dan menjamin masa depan kewangan ahli kami,” katanya. – Malaysiapost