Masalah agihan peruntukan Ahli Parlimen boleh dimuktamadkan – Saifuddin
Ben Ibrahim
FORMULA atau mekanisme berkaitan kaedah pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen boleh diselesaikan dalam sidang Dewan Rakyat penggal ini.
Ahli parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana perkara berkaitan ketidakseimbangan pengagihan peruntukan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Saya percaya semua Ahli Dewan Rakyat sedia menyokong jika perkara berkaitan peruntukan ini dibentang dan dibahaskan.
“Lagipun ia sudah berlarutan sejak dulu lagi, tiap kali tukar kerajaan maka kaedah pengagihan peruntukan juga berubah dan ada (kerajaan) yang bagi (peruntukan) kepada Ahli Parlimen pembangkang dan ada yang tak bagi.
“Jumlah (peruntukan) juga berubah-ubah, ada ketika Ahli Parlimen terima peruntukan berdasarkan pendapatan per kapita kawasan diwakili, adakalanya tidak dikira begitu, jadi (peruntukan diterima) tidak konsisten,” katanya di Kuantan, hari ini.
Terdahulu, beliau membentangkan Laporan 100 Hari Pertama sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota dalam satu sidang media.
Ketika ditanya mengenai perancangan beliau untuk kawasan Indera Mahkota, Saifuddin memaklumkan terdapat beberapa perancangan dibuat sebelum ini terpaksa diubah.
“Ini terpaksa dibuat (perubahan) kerana kita (Ahli Parlimen pembangkang) tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Tapi saya akan cuba pastikan semua yang sudah dan sedang dilakukan di Indera Mahkota, kita teruskan macam biasa.
“Seperti program Jualan Prihatin, kita akan teruskan kerana masih ramai rakyat yang dalam kesusahan dan tidak lagi kita nak puasa dan sambut hari raya,” katanya.
Beliau turut berharap kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dapat memberi perhatian khusus terhadap isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram, dekat sini.
Katanya, isu mengenai sekolah itu sudah dibangkitkan sejak tahun 2012 dan masih belum selesai hingga hari ini.
“Saya pun dah bangkitkan isu ini dalam dewan rakyat, jadi saya harap pihak berkaitan boleh membantu menyelesaikan permasalahan yang lama berlanjutan.
“Sekolah ini beroperasi dalam kontena dan kita sudah mempunyai (melantik) kontraktor pada 2018 untuk membina bangunan sekolah itu tapi tergendala sehingga hari ini,” katanya. – Malaysiapost