Mohd Puad persoal status ‘Datuk’ Nor Salwani
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan status gelaran ‘Datuk’ yang diterima pegawai Jabatan Audit Negara, Datuk Nor Salwani Muhammad.
Menurutnya, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebelum ini mengesahkan bahawa gelaran ‘Datuk’ itu bagi menghargai jasa Nor Salwani menyimpan bukti pindaan ke atas laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ironinya, Nor Salwani dapat gelaran Datuk kerana jasanya simpan salinan asal laporan audit 1MDB tersebut.
“Itu disahkan oleh Khalid Samad, sedangkan Tan Sri Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara) dakwa tiada pindaan.
“Apakah kes Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan Arul Kanda buang masa dan penganiayaan?,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri itu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda daripada tuduhan meminda draf audit syarikat berkenaan.
Jelas Mohd Puad, bekas Ketua Audit Negara sendiri pernah menafikan laporan audit tersebut dipinda.
“Kalau ia pun, apakah meminda draf tidak boleh? Seperti meminda draf ucapan Bajet berkali kali sebelum jadi draf terakhir,” katanya.
Beliau berkata, apa yang lagi pelik apabila pihak pendakwa sendiri memohon ‘pinda’ pertuduhan daripada meminda laporan terakhir kepada meminda draf.
“Memang kartun dan buang masa empat tahun,” katanya. – Malaysiapost