Penahanan Mohd Salleh hanya untuk cari kesalahan pemimpin Bersatu – Hamzah
BERSATU berpendirian bahawa tahanan reman ke atas Datuk Mohd Salleh Bajuri adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pemimpin parti itu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata begitu juga tindakan menjalankan siasatan ke atas vendor-vendor Bersatu adalah sebahagian daripada pemburuan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang masih berterusan.
Menurutnya, 1 Mac lalu Mohd Salleh yang merupakan Setiausaha Bersatu diminta hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) bagi memberi penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat Bersatu kepada pembekal dan vendor parti itu.
“Datuk Salleh Bajuri telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan SPRM sejak Januari 2023 lagi. Setiap kali dipanggil, beliau hadir. Setiap kali ada permintaan dokumen, beliau serahkan. Tidak pernah beliau menolak permintaan SPRM walaupun diminta pada saat saat akhir.
“Namun, pada 1 Mac beliau sekali lagi dipanggil secara tergesa-gesa. Apabila hadir untuk memberi keterangan, beliau ditahan reman.
“Sebenarnya, tiada sebab yang munasabah untuk SPRM memohon penahanan reman Datuk Salleh Bajuri atas alasan siasatan kerana beliau sentiasa hadir dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya setiap kali diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Mohd Salleh dilaporkan ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.
Mohd Salleh ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Hamzah memaklumkan, penyata kewangan Bersatu telah diaudit setiap tahun dan diluluskan dalam Persidangan Agung Tahunan.
“Tidak ada apa-apa perkara tidak teratur ditemui dalam penyata kewangan tersebut, yang telah disahkan oleh juruaudit bertauliah.
“Datuk Salleh Bajuri sebagai seorang Bendahari Agung yang beramanah dan berintegriti telah memastikan semua perolehan yang dibuat oleh Bersatu telah melalui proses dan tatacara kewangan parti,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hamzah berkata, Bersatu menyeru supaya kerajaan PH-BN berhenti melakukan pemburuan politik yang tidak berkesudahan ke atas parti itu.
Ujarnya, kerajaan PH-BN perlu menerima hakikat bahawa pucuk pimpinan Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang. – Malaysiapost