Permohonan Pejuag sertai PN dibincang dalam mesyuarat – Hadi
PERMOHONAN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai Perikatan Nasional (PN) akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Timbalan Pengerusi PN itu berkata, penyertaan mana-mana pihak dalam gabungan tersebut perlu dibincangkan secara kolektif melibatkan semua parti komponen.
“Saya ada menerima surat dari Pejuang mengenai permohonan untuk menyertai PN, kita akan bincang perkara ini dalam mesyuarat.
“(Tarikh mesyuarat) kita belum terima lagi daripada setiausaha parti,” katanya kepada media di Marang, Terengganu hari ini.
Khamis lalu, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan parti itu telah membuat memohon untuk menyertai gabungan PN.
Mukhriz mengesahkan telah mengutus surat berkenaan permohonan Pejuang menyertai gabungan itu kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Surat yang sama telah disalinkan kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan Presiden gabungan tersebut, serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Mukhriz berkata, keputusan itu disepakati oleh Majlis Eksekutif Pusat Pejuang (MEP) setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada.
Sementara itu, Abdul Hadi turut menyifatkan permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu sebagai perkembangan positif buat PN.
“Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” ujarnya. – Malaysiapost