Sindir Menu Rahmah, pemimpin Pas hanyut ke arah takbur
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah menempelak beberapa pemimpin kanan Pas yang didakwa mempersenda Menu Rahmah yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bulan lalu.
Menurutnya, sikap pemimpin kanan Pas berkenaan seolah-olah kayangan bertaraf orang kenamaan (VIP), berbeza dengan sebelum ini tidak merendahkan makanan rezeki dari Allah SWT.
“Kebelakangan ini semakin ramai pemimpin kanan PAS mempersendakan dan menunjuk sikap kurang bersyukur rezeki makanan melalui menu rahmah kurniaan Allah.
“Kalau mereka dari kalangan anak muda, kita mungkin anggap mereka kurang matang atau tidak cermat dengan kata kata tetapi mereka ini dari taraf Ahli Jawatankuasa (AJK) Nasional, ahli Parlimen dan EXCO Negeri.
“Ada video yang tular, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan ahli Majlis Syura Pas, Nik Mohamad Zawawi Salleh, berbual memperlekeh serta menganggap ikan kembung taraf rendah ‘cap ayam’ dan hanya ikan kelah yang baik. Kedua dua adalah dari golongan ustaz Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raja Bahrin berkata, bukan sahaja itu, Ahli Parlimen Pas, Dr Halimah Ali yang merupakan doktor perubatan turut menganggap menu rahmah boleh membahayakan rakyat dan dikaitkan dengan kanser serta autisme.
Dalam masa sama, katanya, seorang Exco Kerajaan Pas Negeri, memperlekehkan makanan di hadapannya serba kurang dan tanpa kuah serta menyifatkan ia sebagai tahap yang rendah.
“Orang ramai menyangka beliau menyindir menu rahmah.
“Adakah setelah merasai nikmat menjadi pentadbir Kerajaan Malaysia dan Negeri mereka meninggikan diri dan tidak lagi peka dengan kesusahan rakyat biasa tertekan yang menghargai setiap rezeki makanan termasuk menu rahmah dengan penuh syukur,” soalnya.
Sementara itu, Raja Bahrin berkata tatkala kerajaan sedang berusaha menstabilkan negara dan membaiki ekonomi, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pula mendoakan kejatuhan kerajaan.
“Nampaknya kejayaan sedikit di dunia ini telah membawa mereka hanyut ke arah takbur.
“Mereka lebih dihormati sebelum menjadi kerajaan pusat tetapi selepas berkuasa 33 bulan di Putrajaya mereka berubah sikap membesarkan diri,” katanya. – Malaysiapost