Usul tambahan PAU tak sah, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan?
USUL tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak pertandingkan pada pemilihan parti bulan ini dikatakan tidak sah.
Ini bermakna Umno perlu membuka semula pencalonan untuk semua jawatan termasuk dua jawatan tertinggi pada pemilihan parti yang bakal berlangsung 18 Mac ini.
Menurut laporan Suara TV, Ibu Pejabat Umno dikatakan telah menerima surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 2022) untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.
Difahamkan RoS telah selesai menjalankan siasatan laporan yang dibuat oleh dua ahli Umno pada 20 Januari lalu.
Setelah meneliti dokumen-dokumen yang disediakan oleh Umno, RoS dikatakan telah memutuskan usul tambahan tersebut sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan Perlembagaan Umno.
Malaysiapost sedang cuba mendapatkan komen daripada pemimpin Umno.
Sebelum ini, media melaporkan, dua ahli Umno, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan lMuhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom telah membuat laporan kepada RoS kerana berpandangan usul PAU tidak sah disebabkan bertentangan dengan Perlembagaan Umno.
Muhammad Aizat Fikri dilapor berkata, mengikut Peraturan Umno, Perenggan 10 menyatakan semua usul perlu disampaikan selewatnya 14 hari sebelum hari persidangan dan tujuh hari jika diusulkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Dalam Umno ada klausa, boleh masukkan usul pada hari persidangan tapi dengan dua syarat iaitu MKT mesti menerangkan usul terbabit, tapi ini tidak berlaku… MKT tidak langsung menerangkannya, keduanya, usul itu mesti ‘public interest’, tapi usul berkenaan tidak, ia hanya untungkan dua orang sahaja.
“Kita bawa ke RoS kerana apa yang diputuskan pada PAU betul tetapi apabila ia bercanggah dengan perlembagaan parti ia tidak boleh diguna pakai,” katanya. – Malaysiapost