Viu hentikan tayangan Mentega Terbang
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesahkan platform penstriman Viu menghentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang sejak 27 Februari lalu.
SKMM memaklumkan walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem Mentega Terbang.
Jelasnya, SKMM komited bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau sebarang kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 menyatakan bahawa penapisan filem atau drama pada platform penstriman tidak terletak di bawah bidang kuasa SKMM.
“SKMM akan sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan teknikal kepada jabatan agama negeri untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah,” katanya dalam satu kenyataan.
Filem Mentega Terbang mendapat kritikan ramai susulan kandungan filem itu dikatakan bertentangan dengan kefahaman agama Islam di negara ini.
Perkara itu turut diperakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang memaklumkan hasil semakan Jakim mendapat ia bertentangan dengan akidah Islam. – Malaysiapost