Warisan hilang lagi seorang Adun
BELUM sampai seminggu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Warisan umum keluar parti, seorang lagi wakil rakyat parti itu melakukan tindakan sama.
Adun Karamunting, George Hiew Vun Zin menjadi Adun Warisan ke-11 mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini.
Menurutnya, beliau membuat keputusan itu kerana rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik tidak stabil yang menyebabkan perkembangan ekonomi dan kemajuan Sabah terbantut.
“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang masih mahukan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.
“Demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Sabah diterajui Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
George turut berterima kasih kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepadanya dalam arena politik.
“Sekarang masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah dan menuntut hak-hak kita yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, di samping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,” katanya.
George memenangi kerusi DUN Karamunting atas tiket Warisan pada Pilihan Raya Umum 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Berikutan perkembangan terbaru itu, Warisan kini memiliki 14 Adun, termasuk dua bekas Adun DAP daripada 23 Adun selepas PRN 2020. – Malaysiapost
Kredit foto: BH Online