Zabidi sedia lawan tuntutan saman pasukan filem Mentega Terbang
PENULIS, Zabidi Mohamed antara individu yang lantang menyentuh isu filem Mentega Terbang, menegaskan tidak gentar dengan tindakan undang-undang yang bakal dihadapi kerana tidak bersetuju dengan kandungan filem kontroversi berkenaan.
Menurutnya, dia telah menerima notis tuntutan daripada penerbit, pengarah dan penulis skrip yang menuntutnya memadam kenyataan di Facebook mengaitkan filem itu sebagai mempermainkan dan mempersenda agama Islam.
Katanya, dia juga diminta membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi ditanggung produksi itu susulan tayangan filem berkenaan disekat.
“Demi menjaga akidah umat Islam di Malaysia saya akan lawan,” tegasnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak mana-mana peguam yang sanggup membantunya dalam menjaga kesucian agama Islam.
“Jika ada peguam-peguam muslim yang ingin bersama-sama saya dalam menjaga kesucian agama Islam boleh PM (mesej peribadi) saya. Kebenaran hanya dengan Islam. Allahuakbar,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam serta penggiat filem, memuat naik notis tuntutan yang diterimanya menerusi Daim & Gamany Advocates & Solicitors bertarikh 3 Mac 2023.
Surat tuntutan saman itu menuntut Zabidi memadam kenyataan dalam Facebooknya yang didakwa memfitnah pasukan penerbit filem bertempoh 45 minit itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Surat daripada sebuah firma guaman itu juga mengarahkan penulis berkenaan membayar ganti rugi dan kos-kos yang terlibat serta memberikan maklum balas berhubung tuntutan tersebut dalam tempoh 48 jam dari semalam.
Mentega Terbang arahan Khairi Anwar ditayangkan di platform penstriman Viu atau aplikasi telefon pintar secara percuma sejak 19 Januari lalu.
Filem itu menerima banyak bantahan daripada umat Islam di negara ini kerana didakwa mengandungi unsur pluralisme agama yang boleh menjejaskan akidah.
Filem itu memaparkan Aisyah, iaitu seorang gadis yang mencari kebenaran agama dengan membuat kajian perbandingan melalui bacaan kepada teks agama sedia ada.
Remaja berkenaan digambarkan sebagai seorang Islam yang menunaikan solat tetapi berfikiran liberal dalam menerima kerencaman beragama termasuk tidak kisah kepada babi sebagai makanan. – Malaysiapost