Zulkifli bentang laporan akhir sebagai Ahli Dewan Negara
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bersyukur apa yang dirancangnya ketika menjadi Ahli Dewan Negara dan semasa berada dalam Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipermudahkan Allah SWT.
Menurutnya, beliau menerima lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ahli Dewan Negara, sekaligus sebagai menteri pada 9 Mac 2020.
Beliau tidak menafikan, amanah yang diterima itu adalah satu cabaran dan sedaya upaya menguruskannya dengan sebaik mungkin.
“Saya ingin membuktikan negatif “orang agama” tidak mampu melaksanakan tadbir urus profesional dengan cemerlang perlu dinilai semula.

“Sejak hari pertama dilantik, saya menyusun tiga fasa tempoh pentadbiran dengan fokus untuk mencairkan segala sumber kewangan agensi agama peringkat Persekutuan seperti zakat, wakaf, infaq dan lain-lain melalui program-program bantuan Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, aspek pengimarahan masjid pasca Covid-19 juga adalah antara yang diberi perhatian, selain membentuk pelan Pengimarahan Masjid Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, pelan berkenaan memuatkan 34 cadangan program meliputi lima teras iaitu ibadah; dakwah; sosial komuniti dan alam sekitar; pendidikan dan keilmuan; serta ekonomi, di samping lima program ‘Quick Win’ berdasarkan teras sama.
“Atas amanah daripada Allah SWT, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan Malaysia dan rakyat, saya bentangkan Kad Laporan terakhir ini sebelum saya menamatkan lantikan secara rasmi sebagai Ahli Dewan Negara pada 8 Mac 2023,” katanya.
Dalam hantaran sama, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkongsikan beberapa perkara yang dilaksanakannya sebagai Ahli Dewan Rakyat dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Antaranya adalah menyertai persidangan dan rundingan antarabangsa; kehadiran sebanyak 51 hari daripada 57 hari persidangan Dewan Negara serta membelanjakan peruntukan RM2.6 juta yang diterima kementerian dan sebagai Ahli Dewan Negara bagi bantuan dan program untuk rakyat seperti sumbangan banjir, bakul makanan dan lain-lain lagi. – Malaysiapost