100 hari Anwar: ‘Dia hanya pandai cakap sahaja’ – Tun M

100 hari Anwar: ‘Dia hanya pandai cakap sahaja’ – Tun M

KERAJAAN Perpaduan dilihat gagal membawa sebarang perubahan besar kepada rakyat serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap tidak memberi apa-apa kesan untuk negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar hanya pandai bercakap namun tidak dapat mengotakan perkara yang dijanjikan kepada rakyat.

“Dia setiap hari ada kenyataan konon hendak buat macam-macam tetapi keadaan kekal seperti itu juga kerana dia cuma pandai bercakap sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan bahawa Anwar hanya bijak mencari sokongan populariti melalui pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

“Bajet itu konon terbesar dalam sejarah tetapi rakyat tidak sedar ia bererti kerajaan kena pinjam banyak wang buat hutang sehingga RM1.5 trilion untuk diwarisi rakyat,” katanya.

Tegas Dr Mahathir lagi, beliau tidak nampak apakah pencapaian dan kejayaan yang telah dapat dilakukan Anwar sepanjang 100 hari menerajui negara kecuali sekadar cakap kosong.

Semalam, genap 100 hari Anwar mengangkat sumpah memegang jawatan ketua kerajaan pada 24 November 2022 lalu selepas tempoh hampir tiga dekad menjadi pembangkang.

Mengulas mengenai tindakan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang juga Presiden Pejuang memohon bagi menyertai Perikatan Nasional (PN), beliau enggan campur isu itu, sebaliknya menganggap negara ini bersifat demokrasi dan beliau pula sudah keluar dari parti tersebut. – Malaysiapost

Komen