Anwar kena waspada amaran Hadi – Shahrir
KERAJAAN Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh memandang enteng berikutan amaran Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan ini bakal tumbang.
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata, berdasarkan sejarah, PAS merupakan pencetus kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Jatuhnya PH. Naiklah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pencetusnya ialah PAS.
“Sekarang sekali lagi PAS memulakan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menaikkan kembali sebuah kerajaan tajaan PAS.
“Sekali dah berjaya. Kali kedua, cuba lagi. Hadi sudah beri amaran awal Mac 2023.Tunggu dan lihat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Pada 1 Mac lalu, media melaporkan Abdul Hadi menjangkakan Kerajaan Perpaduan tidak akan kekal lama dan akan tumbang tidak lama lagi.
“Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.
Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat,” katanya.
Menjelaskan mengenainya, Shahrir turut mengimbas beberapa gerakan Abdul Hadi yang membawa kejatuhan kerajaan PH selepas pertemuan pemimpin PAS itu dengan Mahathir.
Jelasnya, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada Feb 2019, Abdul Hadi telah berjumpa Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri PH.
Selepas dua perjumpaan dengan Dr Mahathir, Presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan menyokong bekas pengerusi Pejuang itu sebagai Perdana Menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.
“Kemudian, enam Ahli Parlimen BN telah, tanpa pengetahuan Umno, juga mengisytiharkan sokongan yang sama kepada Mahathir. Kenyataan mereka ini dibuat sebelum PRK Parlimen Tanjung Piai.
“Kedua-dua pengiystiharan sokongan ini adalah petanda pelaksanaan “Langkah Sheraton” di mana PAS dan sekelompok ahli parlimen Umno-BN menyokong Mahathir sebagai PM,” katanya.