Bahagian Umno terjejas banjir boleh tangguh persidangan – Mustapha
JAWATANKUASA Pemilihan Umno (JPU) 2023 bersetuju persidangan mana-mana bahagian termasuk peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di Johor yang berdepan kesukaran akibat banjir buruk melanda negeri itu, ditangguhkan.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pihaknya memantau situasi banjir di negeri, khususnya bagi impak bencana itu kepada persiapan dan masalah dihadapi mereka mana-mana Umno bahagian.
“Kita (JPU) sudah memutuskan mana-mana bahagian (di Johor) yang tidak dapat bersidang sebab tiada tempat atau lokasi persidangan dilanda banjir, tangguhkan persidangan dan pemilihan bahagian berkenaan.
“Persidangan yang ditangguhkan akan dijadualkan semula pada satu tarikh baru kemudian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau turut memaklumkan keputusan memberi kebenaran penangguhan itu hanya membabitkan Johor.
Bagi negeri lain yang tidak terjejas, katanya, persiapan bagi persidangan pemilihan kepemimpinan tetap berjalan seperti dijadualkan.
Ditanya jumlah bahagian Umno yang terjejas, Mustapha berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat daripada JPU peringkat bahagian dan akan memaklumkan perkembangannya dalam masa terdekat.
“Kita sedang kumpul maklumat dan data daripada JPU bahagian. Ada bahagian yang terjejas, cuma jumlahnya kita sedang kumpulkan,” katanya.
Sebanyak 26 bahagian Umno dijadual bersidang pada Sabtu ini di peringkat sayap dan 18 Mac depan bagi peringkat bahagian.
Umno akan mengadakan pemilihan bagi menentukan kepemimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat pusat pada Sabtu ini, manakala penentuan bagi jawatan naib presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pula pada 18 Mac. – Malaysiapost