Banjir di Johor terkawal, tak perlu isytihar darurat – PM
KERAJAAN tidak akan mengisytiharkan darurat susulan situasi bencana banjir buruk yang dihadapi Johor ketika ini, berikutan keadaannya masih terkawal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pengisytiharan darurat kerana banjir tidak perlu dilakukan berikutan hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat (banjir) sudah sedikit surut, walau beberapa tempat mengalami banjir termenung. Ini mengambil masa sedikit untuk surut.
“Namun tidak perlu darurat setakat ini kerana keadaan cuaca semakin baik dan banjir agak berkurangan. Itu yang dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata semua peruntukan khas dari kerajaan Persekutuan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir berikutan banyak barangan serta kediaman rosak akibat bencana itu.
“Kerajaan Selangor dan dari Wilayah Persekutuan juga akan menghantar lori pengangkut sampah ke Johor segera bagi tujuan pembersihan. Kumpulan mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga akan diselaraskan bagi membantu penduduk membersihkan rumah selepas banjir surut,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan beliau telah menghubungi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama untuk membantu mangsa banjir di Johor.
“Saya hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elektrik dengan kadar segera. Selain itu, Yayasan Sime Darby akan sediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga selain dana tambahan RM20 juta untuk mangsa di negeri ini,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata, kerajaan akan menyegerakan projek tebatan bagi mengatasi masalah banjir yang melanda beberapa negeri.
“Perkara ini tidak boleh dilengahkan dan harus ditangani dengan lebih serius supaya ia tidak berulang.
“Bantuan segera juga telah disalurkan kerajaan Persekutuan dan negeri bagi meringankan beban ditanggung mangsa banjir. Moga yang terkesan diberi kesabaran dan dipermudahkan urusan seterusnya,” katanya. – Malaysiapost