Ceramah Ustaz Wadi di Selangor dibatalkan

Ceramah Ustaz Wadi di Selangor dibatalkan

DUA kuliah agama penceramah bebas, Mohamad Wadi Annuar di Selangor pada 10 dan 11 Mac depan dibatalkan.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran Facebook Mohamad Wadi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi, hari ini.

Dua lokasi tersebut ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjung Karang, Selangor.

Bagaimanapun, dalam hantaran sama Mohamad Wadi tidak mendedahkan sebarang alasan berhubung pembatalan ceramah di kawasan berkenaan.

Menurut perkongsian tersebut, sesi ceramah beliau bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula akan kekal berjalan seperti biasa.

“Dimaklumkan bahawa semua ceramah Ustaz Wadi Annuar bertempat di negeri Selangor telah dibatalkan.

“Manakala ceramah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan dijalankan seperti biasa.

“Segala kesulitan amat dikesali. Semoga Allah SWT memberikan pahala kepada semua yang berniat untuk hadir majlis ilmu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus yang dijadualkan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong pada 26 Februari lalu, dibatalkan.

Difahamkan, JAIS membatalkan kuliah Maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor. – Malaysiapost

Komen