Finas, SKMM ambil tindakan terhadap produksi Mentega Terbang
PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap produksi filem indie kontroversi, Mentega Terbang.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, saluran penstriman dalam talian yang menayangkan filem berkenaan sudah mengeluarkan Mentega Terbang daripada saluran mereka pada 27 Februari lalu.
“Pihak Finas sedang menyiasat beberapa aspek lain (terhadap Mentega Terbang) sekiranya mereka ada buat kesalahan di bawah undang-undang badan ini.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), (Datuk Mohd. Na’im Mokhtar) pun telah memberi maklum balas mengenai filem itu,” katanya seperti dilapor Kosmo Online.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengagihan PerantiSiswa serta merasmikan MyDIGITAL Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzil mendakwa filem tersebut sudah dikongsikan oleh pengguna media sosial sejak tahun 2021 dan bukannya baru-baru ini.
Justeru, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu tidak mengambil tindakan terhadap produksi Mentega Terbang sebelum ini.
“(Selain tayangan di saluran penstriman), terdapat beberapa pihak yang dilihat sengaja menularkan beberapa sedutan video filem itu, seolah-olah ada ‘udang di sebalik batu’.
“Apapun, kerajaan sekarang ini akan menyelesaikan isu ini yang tidak diselesaikan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzil mengingatkan kepada semua penerbit dan produksi filem supaya mengikut garis panduan pembuatan filem yang telah ditetapkan Finas dan Lembaga Penapisan Filem (LPF).
Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam. – Malaysiapost