Ismail Sabri minta Zahid tunjuk surat RoS

Ismail Sabri minta Zahid tunjuk surat RoS

UMNO perlu menunjukkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang didakwa menerima resolusi parti itu untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini.

Perkara itu disuarakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden patut menunjukkan surat berkenaan berikutan terdapat dua laporan media yang berbeza, selain bagi mengelakkan kekeliruan.

“Minta dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS itu, elok juga kalau boleh tunjukkan (surat) sebab ada dua laporan media berbeza.

“Satu kata RoS tolak tapi tak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru. Saya pun baca laporan media juga,” katanya.

Januari lalu, status usul tambahan yang diluluskan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 membabitkan dua jawatan tertinggi parti berkenaan telah menimbulkan polemik dan keraguan.

Malam tadi, Ahmad Zahid memaklumkan Umno sudah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan RoS menerima resolusi parti itu iaitu tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Menurutnya, RoS meluluskan usul PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Jelasnya, perkembangan terbaru itu diterima menerusi surat daripada KDN semalam.

Bagaimanapun, portal Suara TV melaporkan RoS yang selesai menjalankan siasatan berhubung aduan diterima daripada dua ahli Umno, memutuskan usul tambahan terbabit tidak sah.

Portal berita terbabit bagaimanapun tidak memetik mana-mana individu atau sumber. – Malaysiapost

Komen