Isteri Herman Tino ditidurkan
JURUHEBAH veteran, Noraini Ibnu kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh berikutan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Personaliti radio RTM itu juga pada masa kini sedang ditidurkan bagi merawat jangkitan berkenaan.
Anaknya, Herta Masrun berkata, doktor sedang melakukan pemantauan yang rapi ke atas ibunya yang ditidurkan hampir 24 jam lalu.
Katanya, ibunya tenang ketika menerima berita doktor perlu berbuat demikian sebagai usaha terbaik untuk merawat penyakitnya itu.
“Alhamdulillah mama sangat positif ketika saya memaklumkan kepadanya mengenai tujuan doktor mahu ‘tidurkan’ beliau.
“Saya dan keluarga sentiasa memberi motivasi kepada mama untuk terus berjuang dan berlawan sekuat mungkin untuk kembali sihat seperti sediakala,” katanya.
Sebelum dimasukkan ke ICU, Noraini yang juga isteri kepada penyanyi veteran terkenal, Herman Tino itu mengalami demam panas pada Jumaat lalu.
Herta berkata semalam ibunya mengalami sesak nafas sekitar jam 7 pagi sebelum membawanya ke hospital.
“Setiba di Hospital Tanjong Karang, degupan jantung mama sangat laju, begitu juga dengan tekanan darah agak tinggi menyebabkan mama ditempatkan di zon kritikal,” katanya. – Malaysiapost