Mentega Terbang: Pemuda PAS tak perlu jadi hero, menangguk di air keruh

Mentega Terbang: Pemuda PAS tak perlu jadi hero, menangguk di air keruh

Najamuddin Mohd Nor

KETUA Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa tidak perlu menangguk di air keruh menyalahkan kerajaan sekarang berkaitan kontroversi filem Mentega Terbang yang ditayangkan di platform digital. 

Calon Exco Pemuda Umno Hafiz Nafiah berkata, filem Mentega Terbang mula ditayangkan pada tahun 2021 dan kenapa kerajaan ketika itu tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap filem berkenaan. 

“Saya selaku Pemuda Umno amat kesal dan marah dengan penerbitan filem berkenaan yang jelas melanggar akidah dan bertentangan dengan ajaran agama islam di Malaysia. 

“Bagi saya, tidak perlu menjadi hero dan menangguk di air yang jernih dalam isu ini, ia akan menampakkan kamu kurang ilmu dalam bab undang-undang yang melibatkan industri kreatif. 

“Kepada Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu janganlah bercakap tanpa fakta yang jelas dan serkap jarang serta menyalahkan pihak berkuasa semata-mata. 

“Sekiranya benar filem ini diterbitkan pada tahun 2021 dan ketika itu kerajaan Perikatan Nasional yang memerintah, jadi jika ingin menyalahkan kerajaan sekarang lebih baik kamu tanya apa yang kerajaan Perikatan Nasional buat dan bagaimana ianya boleh diterbitkan pada ketika itu?” katanya kepada Malaysiapost, hari ini. 

Hafiz yang merupakan Setiausaha Agung Seniman berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Mohd Harun yang seolah-olah menyalahkan kerajaan hari ini kerana membenarkan filem Mentega Terbang ditayangkan di platform digital. 

“Kita juga sangat pelik bagaimana filem seperti ini boleh diluluskan tanyangannya ke seluruh pelusuk negara seolah-olah tiada sebarang tapisan atau sekatan dari pihak berwajib. 

“Ianya seperti sebuah provokasi yang sengaja dilepaskan untuk “test market” pandangan majmuk rakyat Malaysia,” kata Mohd Harun dipetik dalam portal BeritaPas, semalam. 

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, beliau bukan mahu menyekatkan Mohd Harun memberi pandangan, tetapi biarlah kenyataan yang diberikan berdasarkan fakta yang betul. 

“Bukan niat saya mahu menyekat beliau untuk memberikan pandangan terhadap isu ini tetapi lebih baik beliau bercakap dari sudut agama sahaja bukan dari sudut undang-undang yang melibatkan industri kreatif. 

“Untuk pengetahuan beliau filem itu ditayangkan diplatform digital dan bukan ditayangkan di pawagam ataupun di televisyen. 

“Kaji dulu fakta dan punca bagaimana filem ini boleh ditayangkan di platform itu dan apakah pihak berkuasa mempunyai akta tertentu untuk menggambil tindakan. 

“Untuk pengetahuan beliau, saya selaku Setiausaha Agung Seniman pada 3 Mac 2023 lalu telah membuat laporan Polis terhadap mereka yang terlibat dan menggesa pihak berkuasa serta beberapa agensi untuk menyiasat dibawah beberapa akta dibawah bidang kuasa masing-masing,” katanya. 

Bagaimanapun, Hafiz senada dengan Mohd Harun berhubung soal akidah umat Islam yang tidak boleh dipandang ringan dan isu ini perlu diambil tindakan keras kerana telah mengganggu gugat keharmonian rakyat terutamanya umat Islam. 

“Saya setuju dengan pandangan Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu tentang soal akidah yang terpesong didalam sebuah filem yang sedang viral sekarang iaitu Mentega Terbang. 

“Ia jelas menjejaskan keharmonian agama Islam itu sendiri, lagi menambah kekesalan ialah pengarahnya adalah beragama islam serta pelakonnya jugak adalah islam. 

“Kami didalam industri kreatif ini sentiasa peka dengan sebarang konten yang melibatkan sensitiviti agama bangsa dan kaum di Malaysia. 

“Walaubagaimanapun saya sudah pasti akan menanti apakah hasil siasatan pihak berkuasa terhadap isu ini dan apakah tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

Komen