PERDA-TECH bakal lahirkan huffaz berpendidikan TVET

PERDA-TECH bakal lahirkan huffaz berpendidikan TVET

LEMBAGA Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bekerjasama dengan pusat tahfiz untuk melahirkan lebih ramai huffaz yang mempunyai kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, (TVET) melalui Program TVET Tahfiz@PERDA-TECH.

Unit Komunikasi Korporat PERDA, berkata bagi merealisasikan hasrat itu PERDA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua institusi iaitu Madrasah Darul Uloom Shaikh Zakariyya (DUZAK), Parit Buntar dan dan Sekolah Menengah Agama Maahad As-Syakhiah Tahfiz Sains (MATSA), Simpang Ampat.

Katanya, MoU itu ditandatangani bersama Pengurus Besar PERDA, Mohd Asri Baharum dan Pengerusi Kompleks Islam DUZAK, Mohd Noor Ariffin, serta pengasas MATSA Osman Jaafar.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Mas Rizal Mohd Hilmi; Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz dan Penasihat Kehormat MATSA, Tan Sri Dr Mohd Yussof Latiff.

“Jalinan kerjasama ini antara program Quick Win PERDA untuk membuka laluan kepada pelajar aliran agama mendapatkan peluang pendidikan kemahiran, membudayakan TVET dalam kalangan pelajar aliran agama bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

“Program rintis selama enam hingga 12 bulan di PERDA-TECH ini melibatkan pengajian kejuruteraan kimpalan dan kejuruteraan automotif untuk fasa pengambilan pertama,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PERDA-TECH turut menguruskan kebajikan, disiplin, keselamatan, fasiliti pembelajaran hingga ke persijilan kepada pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Persijilan Kemahiran Malaysia yang diiktiraf kerajaan.

Ujarnya, pelajar tahfiz berkenaan juga akan meneruskan pengajian kitab dan hafazan di institusi agama masing-masing. – Malaysiapost

Komen