Petugas banjir perlu waspada, jaga keselamatan diri – MB Johor

Petugas banjir perlu waspada, jaga keselamatan diri – MB Johor

SERAMAI 12,975 anggota daripada jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bertugas bagi misi bantuan banjir di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata semua petugas berkenaan bekerja tanpa mengira masa untuk menunaikan tugas dan amanah yang diberikan.

“Saya berkesempatan turun ke Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru semalam untuk melihat persiapan tambahan yang dilakukan oleh pegawai dan anggota APM Johor Bahru, yang membawa bersama-sama sebuah bot penyelamat serta kit makanan ke kawasan Batu Pahat.

“Dalam saya menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka dan mendoakan keselamatan serta meminta petugas untuk sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri sewaktu berbakti kepada mangsa banjir,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, keadaan banjir di kawasan itu semakin buruk dengan 20 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

Katanya, PPS itu menempatkan seramai 4,539 orang mangsa dari 1,315 keluarga dalam kawasan Parlimen Ayer Hitam.

“Terkini, dua lagi PPS dibuka susulan pertambahan mangsa banjir yang diminta meninggalkan kediaman masing-masing oleh pihak berkuasa.

“Dianggarkan lebih 5,000 orang mangsa terkesan akibat musibah banjir kali ini,” katanya.

Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 37,322 penduduk, di sembilan daerah terjejas setakat semalam.

Ia membabitkan seramai 10,793 keluarga, yang dipindahkan ke 238 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sembilan daerah. – Malaysiapost

Komen