Polis komited pantau, kesan media sosial sebar propaganda IS
POLIS sentiasa mengesan dan memantau beberapa akaun di media sosial yang didapati menyebarkan propaganda menyebarkan pengaruh kumpulan yang dikaitkan dengan Islamic State (IS).
Ketua Polis Negara, Tam Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memberi jaminan tahap keselamatan negara adalah terkawal.
Menurutnya, antara langkah diambil polis adalah mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan serantau bagi memantau propaganda seperti itu supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Dalam usaha ini, semua agensi memainkan peranan secara aktif dan pemantauan ditingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan terjamin.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak gusar dengan laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak-pihak yang menyokong IS. Berdasarkan situasi semasa, polis memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Acryl Sani menegaskan, polis juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam, diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan tiada sebab untuk bimbang mengenai kehadiran kumpulan yang dikaitkan dengan IS di negara ini.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa mengetahui percubaan kumpulan yang dikenal pasti sebagai Pusat Media Al Malaka itu untuk meluaskan pengaruhnya di sini.
Menurut Bahagian Siber Anti-Keganasan Nordic Counter-Terrorism Network (NCTN), kandungan kumpulan itu tersedia di web tertutup (dark web) dan pautannya dikongsi dengan struktur sokongannya di Malaysia.
Turut didedahkan bahawa kumpulan itu menggunakan ideologi radikal sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk menggugat kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kumpulan itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan media IS di Indonesia dan Filipina. – Malaysiapost