‘Saya tidak terlibat dengan perancangan politik Mukhriz’ – Tun M
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak terlibat dalam perancangan politik diatur anaknya Datuk Seri Mukhriz yang juga Presiden Pejuang.
Kenyataan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu susulan permohonan Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata, Mukhriz bebas melakukan apa sahaja untuk parti yang diterajuinya ketika ini kerana Malaysia adalah negara demokrasi.
“Negara kita bebas. Dia (Mukhriz) boleh boleh buat apa sahaja, cuma sama ada disambut baik atau tidak, itu soal lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Pejuang memohon untuk menyertai parti komponen PN.
Mukhriz berkata, pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya partinya diterima sebagai anggota komponen.
Katanya, surat yang sama turut diserahkan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Pada 10 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada Pejuang susulan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).
Dr Mahathir kemudian menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pada 1 Mac lalu. – Malaysiapost