Surat kelulusan RoS akan ditunjukkan – Ahmad Zahid

Surat kelulusan RoS akan ditunjukkan – Ahmad Zahid

UMNO akan menunjukkan surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menerima usul tambahan parti itu agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan tahun ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung parti itu Ahmad Maslan berbuat demikian untuk memberi makluman kepada semua ahli.

“Itu satu tanda noktah bahawa Perhimpunan Agung Umno adalah badan tertinggi Umno dan peraturan-peraturan telah diikuti, Perlembagaan juga dipatuhi maka noktah ini adalah penamat dan kita tutup buku untuk mempolemikkan apa-apa isu mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan Umno peringkat Kedah dan Perlis di Alor Setar, hari ini.

Ahmad Zahid turut berkata, penerbitan surat tersebut diharap dapat menamatkan polemik berkaitan usul yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung Umno 2022 pada Januari lepas.

Terdahulu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Ahmad Zahid menunjukkan surat RoS sekali gus membuktikan resolusi supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan telah diluluskan RoS

Ismail Sabri menjelaskan, Ahmad Zahid perlu menjelaskan perkara itu kerana terdapat laporan media yang bercanggah. – Malaysiapost

Komen