Bahan basah terhad punca kualiti makanan terjejas – Nancy
BEKALAN bahan basah yang terhad antara punca timbulnya isu kualiti makanan yang dibekalkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) baru-baru ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata susulan isu tersebut, pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada katering terbabit dan mereka mengakui sukar mendapatkan bekalan bahan basah sehingga menjejaskan kualiti makanan yang disediakan, lapor Bernama.
“Katering tersebut mengaku ada kekurangan dari segi kualiti makanan kerana sukar mendapat bahan (basah) dan terpaksa pergi jauh.
“Kita sudah berikan amaran dan buat masa ini (banjir) bukan mudah untuk mencari katering baharu… sebab itu kita ada tolak ansur untuk membantu menyelesaikan masalah,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Kota Dalam di Batu Pahat, hari ini.
Nancy berkata paket makanan dibungkus secara ‘retort’ akan diagihkan kepada mangsa banjir pada hari pertama mereka ditempatkan di PPS dan kemudiannya ia terpulang kepada mangsa sama ada untuk menjalankan gotong-royong untuk menyediakan makanan.
Beliau menambah pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya mangsa banjir di PPS mahu melakukan gotong-royong dalam penyediaan makanan kerana kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu dalam pengurusan di PPS.
Beliau berkata setakat ini, seramai 415 kakitangan JKM dari beberapa negeri dan 600 sukarelawan membantu dalam menguruskan PPS dan mangsa banjir.
Semalam, tular di media sosial sebuah video berhubung seorang Ahli Parlimen yang kecewa dengan kualiti makanan dan waktu pengagihan makanan kepada mangsa banjir di Yong Peng, di Batu Pahat. – Malaysiapost