DUN Pulau Pinang salah singkirkan 4 Adun Bersatu – Razali

DUN Pulau Pinang salah singkirkan 4 Adun Bersatu – Razali

PERKARA 14A tidak boleh digunapakai terhadap Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu kerana mereka tidak pernah melompat masuk parti lain.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, berkata ini kerana mereka menang dan dipilih sebagai ahli Bersatu dan kekal sebagai ahli parti itu sehingga hari ini.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di bawah pimpinan PH/ BN hanya akan menyalahgunakan kuasa majoritinya untuk menyingkir ahli-ahli DUN yang dipilih secara sah tanpa sebarang alasan kukuh.

“Ini kerana mereka hanya mahu melemahkan Bersatu menjelang Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Sebelum ini empat Adun Bersatu yang berdepan risiko kehilangan kerusi jika usul pengosongan kerusi mereka dibawa dalam Sidang DUN Pulau Pinang hari ini, menegaskan tetap akan menghadiri sidang berkenaan.

Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, berkata meskipun dijangka akan disingkirkan selepas usul itu diluluskan, mereka akan mempertahan kedudukan masing-masing ketika sesi perbahasan usul berkenaan.

Mengulas lanjut, Razali berkata mengenai Adun PKR pula, amat jelas sekali DUN telah bertindak secara eksklusif untuk menjaga kepentingan kepimpinan parti mereka.

“Hanya disebabkan Anwar Ibrahim tidak suka kedua-dua Adun PKR itu, mereka telah disingkir tanpa sebarang alasan.

“Sehingga hari ini, PKR belum lagi menjelaskan mengapa kedua-dua Adun mereka telah dibuang,” katanya.

Tambahnya, Bersatu adalah parti yang telah mengundi agar perubahan dibuat dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang lompat parti.

Tegas beliau, perlu ditekankan Bersatu hanya mengundi untuk perubahan tersebut kerana adanya peruntukan perlindungan yang mencukupi tertera di dalamnya.

“Maksudnya parti-parti politik telah dan kekal bebas untuk mengubah kesetiaan masing-masing. Dan parti-parti politik tidak boleh mengawal wakil-wakil rakyat masing-masing dengan ugutan pemecatan jika mereka bertukar parti.

“Kami tidak mahu merompak kuasa rakyat dalam memilih wakil rakyat pilihan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen