Guan Eng dakwa Tun M pernah ugut lucut jawatan Menteri Kewangan
BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa beliau pernah diugut untuk dilucutkan jawatannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu.
Menurutnya, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu kurang senang dengannya kerana memperjuangkan tiga perkara yang tidak digemari beliau.
“Pertama, Mahathir membantah pemberian peruntukan tahunan Ahli Parlimen sebanyak RM3.8 juta kepada Ahli Parlimen kerajaan.
“Kedua, Mahathir membantah kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka. Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti awam,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Bagaimanapun Pengerusi DAP itu berkata, Dr Mahathir terpaksa akur untuk bersetuju mengenai pengurangan pembayaran sebanyak 18 peratus Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) walaupun pada mulanya membantah keras cadangan itu.
“Ketiga, Mahathir membantah pengurangan 18 peratus lebuh raya tol PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol.
“Saya berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap Menteri, untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri,” katanya.
Guan Eng menambah, Dr Mahathir telah mengugut beliau untuk memecat daripada jawatan Menteri Kewangan berhubung cadangan tersebut.
“Pada setiap tiga peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas tiga inisiatif ini.
“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Mahathir tidak melaksanakan ugutannya. Sebaliknya Mahathir meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri pada Februari 2020,” katanya.
Guan Eng berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang mendakwa DAP tidak mampu mengawalnya semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Malah, Dr Mahathir berkata, Guan Eng sebagai pemimpin DAP ketika itu yang merupakan Menteri Kewangan terpaksa meminta kebenaran daripadanya sebelum mahu melakukan sesuatu.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, setiap menteri Kabinet pastinya memaklumkan sebarang cadangan kepada Dr Mahathir kerana beliau adalah Perdana Menteri.
“Menteri-menteri dalam Kabinet semestinya memaklumkan kepada Perdana Menteri tentang sebarang inisiatif pembaharuan yang mahu dicadangkan.
“Ini bukan sahaja Amalan kebiasaan tetapi juga kerana menghormati kedudukan Perdana Menteri.
“Namun sekiranya Perdana Menteri tidak bersetuju, satu-satunya alternatif yang tinggal kepada Menteri ialah merayu kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan,” katanya. – Malaysiapost