Hadi ditegur supaya lebih beradab
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ditegur supaya lebih beradab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama membabitkan Institusi Beraja.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, menyifatkan tindakan Abdul Hadi yang tidak mempedulikan larangan ceramah di masjid dan surau di Terengganu sebagai hasutan melanggar ulil amri.
“Abdul Hadi pernah menjadi Menteri Besar Terengganu di bawah Sultan Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004.
“Adalah lebih beradab dan bersopan jika Abdul Hadi menghadap Sultan Terengganu untuk menjelaskan atau memurnikan situasi daripada mengeluar kenyataan menyanggah secara terbuka dan tidak melalui majlis perbincangan secara tertib serta tertutup.
“Itulah cara lebih Islamik dan mengikut adat Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia susulan larangan ahli politik menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di Terengganu yang tidak dipedulikan oleh Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.
Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, larangan bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Jelasnya, tanggungjawab Raja Raja Melayu adalah untuk memelihara perpaduan umat Islam dan dengan niat murni itulah arahan melalui Maidam di Terengganu dikeluarkan.
Beliau berkata, adalah sangat tidak sopan Presiden PAS menyanggah titah Agong dan Sultan secara terbuka dengan tidak beradap sedangkan ahlinya diarah wala’ taat kepada pimpinan parti.
“Di manakah sifat nilai murni Islam serta sifat kemelayuan yang beradab yang selama ini dilaungkan oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) di bawah Kerajaan Melayu Islam sebelum ini?,” katanya.
Menurutnya, masjid dan surau adalah tempat suci yang mana persaudaraan dan penyatuan umat Islam dipupuk dan bukan tempat syarahan hasutan ke arah pepecahan. – Malaysiapost