Hishammuddin mesra dengan pemimpin PN, Hamzah kata jangan diganggu
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini memuatnaik video beliau berbual mesra bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Video dirakam di lobi Parlimen itu menarik perhatian ramai berikutan Hishammuddin ketika ini berdepan penggantungan sebagai ahli Umno selama enam tahun.
Menerusi video itu, Hishammuddin dilihat berbual mesra dengan Hamzah serta Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Dalam hantaran di Facebooknya itu, Hamzah menulis “Jangan diganggu” berserta tanda pagar #OrangKita.
Hantaran tersebut sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada netizen sehingga ada yang membuat spekulasi adakah bekas Naib Presiden Umno itu akan menyertai PN.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji kedua-dua pemimpin kerana mengekalkan ukhuwah walau berbeza parti.
Untuk rekod, ini kali kedua Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu memuat naik video perbualan mesranya dengan Hishammuddin dalam tempoh kira-kira dua minggu. – Malaysiapost