Kelantan gesa Pusat jelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum

Kelantan gesa Pusat jelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum

KERAJAAN Kelantan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepadanya berdasarkan minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada tahun 2018.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob berkata, minit mesyuarat berkenaan telah memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan terus kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

“Minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunai petroleum akan disalurkan secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut yang dikuasai oleh pembangkang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad menjelaskan, kerajaan Kelantan telah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum melalui enam siri rundingan dengan kerajaan pusat.

“Rundingan antara Menteri Besar Kelantan dengan Perdana Menteri bermula tahun 2013 hingga 2021 dan satu pertemuan turut diadakan bersama Pengerusi dan Pengurusan Tertinggi Petronas pada 10 Julai 2020,” katanya.

Justeru, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan kesal terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa hak mendapatkan bayaran tunai petroleum mesti berada dalam perairan tiga batu nautika dan penyaluran adalah di atas nama wang ehsan.

“Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan 6 November 2015 telah menolak Akta Laut 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika sekali gus menafikan hak Kelantan menerima bayaran tunai petroleum.

“Perjanjian Kerajaan Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal satu jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5 peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan,” katanya. – Malaysiapost

Komen