Kerajaan Pulau Pinang takut pada PN – Wan Saiful
AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak akan mempunyai semak dan imbang selepas tinggal hanya seorang wakil pembangkang.
Beliau berkata, pengosongan empat kerusi Adun daripada Bersatu itu merupakan titik hitam kepada politik Pulau Pinang.
“Bagi saya adalah satu titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang yang mana Kerajaan DAP dan Umno menghapuskan sebarang kemungkinan untuk adanya semak dan imbang agar mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk dalam menghadapi PRN,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang kesal dengan tindakan itu menyifatkan ketakutan kerajaan negeri terhadap PN.
“Bagi saya tindakan meluluskan usul mengosongkan empat kerusi ADUN PN di Pulau Pinang melambangkan ketakutan mereka dan tindakan mereka mahu menggunakan segala saluran perundangan untuk memastikan kebangkitan rakyat dan sokongan kepada PN dapat dilumpuhkan.
“Mereka menggunakan semua kuasa yang ada termasuk kuasa yang ada di DUN. Seharusnya tunggulah PRN yang kita tahu tak berapa bulan lagi.
“Tapi kerakusan mereka ini menyebabkan mereka meneruskan usaha yang hasilnya ialah lulus satu usul memaksa empat Adun PN mengosongkan kerusi,” katanya.
DUN Pulau Pinang hari ini membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Adun.
Empat Adun itu ialah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).
Kesemua mereka turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN tengah hari tadi selepas usul itu diluluskan.
Untuk rekod, Adun Penaga daripada PAS, Mohd Yusni Mat Piah kini merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang di negeri itu. – Malaysiapost