KWSP bersasar: Kerajaan patut boleh jimat RM1 bilion untuk mangsa banjir

KWSP bersasar: Kerajaan patut boleh jimat RM1 bilion untuk mangsa banjir

KERAJAAN mampu menyelamatkan dana sebanyak RM1 bilion daripada wang yang diperuntukkan untuk penambahan RM500 ke dalam akaun pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya membenarkan pengeluaran bersasar seperti mana yang diminta rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu sebaliknya boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa banjir di negeri terjejas.

“Sebenarnya, pencarum tak mohon suntikan RM1 bilion ini tapi mereka hanya mohon untuk KWSP mereka dibenarkan untuk dikeluarkan secara bersasar.

“Kalau itu diluluskan, kerajaan boleh menyelamatkan RM1 bilion dan boleh bagi pada kawasan-kawasan yang hadapi banjir yang teruk untuk digunakan untuk selamatkan mangsa-mangsa yang ada,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menambah RM500 ke dalam Akaun 1 pencarum KWSP berumur antara 40 dan 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dengan jumlah peruntukan RM1 bilion.

Sementara itu, Muhyiddin (PN-Pagoh)mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang kawasan mereka dilanda banjir.

Beliau berkata, peruntukan terbabit bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen masing-masing.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan segera peruntukan RM50 juta kepada Johor tetapi saya cadangkan ia dinaikkan kepada RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini amat teruk,” katanya. – Malaysiapost

Komen