Lebih 52,000 mangsa banjir di Johor, Pahang dan Melaka

Lebih 52,000 mangsa banjir di Johor, Pahang dan Melaka

SERAMAI 52,443 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 15,060 keluarga di tiga negeri sehingga pagi ini.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 9 pagi ini, sebanyak 306 PPS masih dibuka untuk menempatkan mangsa terjejas di Johor, Pahang dan Melaka.

Johor masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu seramai 49,024 orang membabitkan 14,093 keluarga ditempatkan di 280 PPS.

Batu Pahat masih lagi kawasan paling teruk terjejas di negeri itu.

Di Pahang, mangsa banjir mula menunjukkan penurunan sedikit apabila hanya seramai 2,999 mangsa membabitkan 851 keluarga ditempatkan di 20 PPS berbanding 3,029 orang awal pagi tadi.

Mangsa yang terjejas di negeri itu membabitkan 995 lelaki, 980 perempuan dan 935 kanak-kanak.

Di Melaka, enam PPS dibuka dan menempatkan seramai 554 mangsa daripada 150 keluarga.

Sementara itu, banjir di Selangor dan Negeri Sembilan dilaporkan pulih sepenuhnya malam tadi. – Malaysiapost

Komen