Makanan siap lebih rendah dengan Menu Rahmah, IPR – Rafizi
KERAJAAN berjaya melaksanakan dua inisiatif yang memberikan penawaran harga makanan siap lebih rendah di peringkat pekedai ketika ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dua inisiatif tersebut ialah Menu Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi memberi pilihan kepada rakyat untuk mendapat makanan siap yang lebih murah.
Jelasnya, kerajaan menggunakan pelbagai serampang untuk memastikan dasar mempengaruhi keseluruhan rantaian makanan daripada penghasilan bahan mentah sehingga ke harga dibeli pengguna.
“Usaha tersebut dilakukan bagi menstabilkan harga makanan di paras lebih sesuai dengan pendapatan rakyat,” katanya pada sidang media penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2023 yang disiarkan secara maya, hari ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kedua-dua inisiatif itu adalah langkah strategik kerajaan untuk menangani komponen inflasi makanan di luar rumah yang tinggi.
“Inisiatif IPR dan Menu Rahmah yang membekalkan makanan siap pada harga RM2 dan RM5 membolehkan pengguna mendapat pilihan yang murah malah mendorong persaingan yang lebih segar di pasaran.
“Inflasi IHP bagi komponen makanan di luar rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada Disember 2022 kepada 9.3 peratus pada Januari 2023,” katanya.
Rafizi juga berkata, kadar inflasi negara pada Januari 2023 terus menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Secara perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Januari 2023 ialah 0.2 peratus, berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya. – Malaysiapost