Noh terperangkap dengan naratif Tun M, dakwa Puad
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar pro “berprinsip secara selektif”.
Ia selepas Noh memuji kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerajui Umno yang disifatkan lebih berprinsip.
“Menurut Noh, Tun M adalah pemimpin berprinsip. Masa Tun M jadi Presiden Umno siapa sahaja berdepan kes mahkamah akan terus digantung hingga selesai perbicaraan.
“Nampaknya Noh pro “berprinsip secara selektif” bukan menyeluruh. Apakah tindakan Tun M bergabung dengan DAP untuk jatuhkan Umno adalah perbuatan berprinsip.
“Non terperangkap dengan naratif Tun M. Tujuan Tun M mewujudkan “Kluster Mahkamah” melalui “pertuduhan selektif” ialah untuk melakukan penghapusan politik,” tulis Mohd Puad di Facebooknya.
Semalam Noh dilaporkan berkata, ketika era Dr Mahathir sebagai Presiden Umno, mana-mana pemimpin parti yang berdepan pendakwaan mahkamah akan digantung secara automatik oleh parti sehingga kes selesai.
Katanya, keadaan dalam Umno ketika ini sudah terbalik apabila individu berdepan kes mahkamah masih memegang jawatan, malah turut menang tanpa bertanding.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata pertuduhan selektif oleh Dr Mahathir menyebabkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikenakan puluhan tuduhan di mahkamah.
“Membunuh politik mereka bermakna mudah untuk membunuh Umno.
“Ternyata Tun M gagal. Zahid menang jawatan Presiden Umno di pemilihan parti 2018. Kini Zahid menang pula jawatan Presiden tanpa bertanding. Umno tidak berkubur pun.
“Maksudnya ahli yang buat keputusan. Mereka lebih faham dan cerdik daripada Noh. Mereka yang berhak menentukan siapa pemimpin ada prinsip. Noh perlu mengawal emosi marahmya,” katanya lagi. – Malaysiapost