PAS yakin tawan Selangor

PAS yakin tawan Selangor

PAS Selangor yakin menawan negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berdasarkan trend pengundi Melayu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ‘gelombang hijau’ yang membadai seluruh negara sehingga memungkinkan PN menyapu 74 kerusi Parlimen dalam PRU15 baru-baru ini adalah isyarat kebangkitan politik masyarakat Melayu Islam.

Katanya, perkara ini diakui oleh kebanyakan penganalisis politik apabila PN berjaya memperolehi sokongan sekitar 56 peratus pengundi Melayu yang keluar mengundi di Semenanjung.

“Mengikut rekod PAS Selangor, enam kerusi Parlimen yang dimenangi PN memperolehi sekitar 55.7% undi dari pengundi Melayu yang keluar mengundi dengan Parlimen Kuala Langat mencatatkan rekod 72%.

“PAS Selangor yakin masyarakat Melayu bangkit melalui gelombang ini kerana bosan dan kecewa dengan kepimpinan Melayu yang cenderung rasuah, pincang moralnya dan gagal menepati janji, lantas PN menjadi pilihan yang diyakini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Roslan Shahir berkata, PAS Selangor juga menolak dakwaan kononnya trend pengundi Melayu hanya berlaku di Kedah dan Kelantan sahaja.

“Bagi PAS Selangor trend pengundi Melayu seumpama ini bersifat nasional dan tidak mengenal batas sempadan sebagaimana didakwa seorang Adun PKR Selangor kononnya ia hanya berlaku di Kedah dan Kelantan.

“Pengundi Melayu di mana sahaja termasuklah di Selangor hari ini cukup rasional dan menuntut sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti serta berwibawa,” katanya. – Malaysiapost

Komen