Pencarian MH370 diteruskan jika ada maklumat baharu – Anthony Loke

Pencarian MH370 diteruskan jika ada maklumat baharu – Anthony Loke

USAHA mencari dan mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang akan dijalankan semula sekiranya ada bukti baharu ditemui.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak pernah melupakan tragedi tersebut walaupun sudah beberapa tahun ia berlaku.

Jelasnya, tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Pada 8 Mac ini, genaplah sembilan tahun tragedi kehilangan pesawat MH370. Kepada keluarga 239 penumpang dan anak kapal yang hilang, rasa simpati yang dicurahkan tidak akan mampu mengubati kesedihan dan keperitan kalian akibat kehilangan tersebut.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini,,” menurutnya dalam kenyataan.

Pada 8 Mac 2014, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan. – Malaysiapost

Komen