Penyokong Manchester United ghaib
PENYOKONG Manchester United seakan ghaib apabila rata-rata tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial susulan kekalahan memalukan 7-0 kepada Liverpool awal pagi tadi.
Ia juga kekalahan terbesar The Red Devils dalam Liga Perdana Inggeris dan apa yang tidak boleh diterima penyokongnya ialah dibelasah oleh musuh ketat mereka.
Sejurus tamat perlawanan di Anfield, penyokong Liverpool memuat naik pelbagai hantaran yang menyindir penyokong Manchester United tanpa belas kasihan.
Sejak awal musim ini, penyokong Manchester United di Malaysia cukup ghairah menyindir penyokong Liverpool susulan prestasi hambar skuad bimbingan Jurgen Klopp.
Namun kali ini serba tidak menjadi apabila skuad bimbingan Eric Ten Hag diperkotak-katik oleh barisan pemain Liverpool.
Liverpool hanya mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan penyerang Cody Gakpo sebelum menambah enam gol lagi pada babak kedua.
Darwin Nunez me jaringan gol kedua ketika aksi babak kedua baru sahaja bermula, disusuli jaringan ketiga menerusi Gakpo.
Mo Salah menjaringkan gol keempat dan keenam tuan rumah manakala Nunez menanduk masuk gol kelima.
Roberto Firmino yang masuk sebagai pemain gantian melengkapkan malam cemerlang Liverpool dengan gol ketujuh pada lewat permainan.
Dua jaringan Mo Salah juga membolehkan pemain Mesir itu kini menjadi penjaring terbanyak Liverpool dalam Liga Perdana dengan 129 gol, mengatasi Robbie Fowler yang telah menjaringkan 128 gol. – Malaysiapost