PGRS paling awal tinggalkan Anwar jika kerajaan bergolak – Azis Jamman

PGRS paling awal tinggalkan Anwar jika kerajaan bergolak – Azis Jamman

PARTI Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) didakwa akan menjadi parti paling awal meninggalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya politik negara bergolak sekali lagi.

Menurut Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, sokongan PGRS atau sebelum ini dikenali GRS terhadap Anwar hanyalah selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenan Ahli Parlimen Tambun itu menerajui Kerajaan Perpaduan.

“Umum mengetahui PGRS yang baru dilancarkan pun hanya menyokong Anwar selepas Agong perkenan Ahli Parlimen Tambun itu mengetuai Kerajaan Perpaduan.

“Percaya atau tidak, jika berlaku pergolakan sekali lagi di peringkat pusat, yakinlah PGRS atau GRS sekali lagi akan menjadi parti pertama yang akan meninggalkan Tambun sebagaimana mereka tinggalkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohd Azis, walaupun Warisan berada di pihak pembangkang dan ‘dikeroyok’ namun parti itu masih mendapat undi terbanyak berbanding parti lain termasuk GRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Justeru, katanya, dakwaan bahawa wakil rakyat Warisan yang bertindak keluar parti dengan membawa ribuan ahli adalah tidak benar sama sekali.

“Warisan ingin memaklumkan yang keluar hanya beberapa orang yang hanya masuk politik untuk cari makan.

“Manakala mereka yang kekal setia adalah yang faham agenda perjuangan Warisan dan mendokong bukan kerana kepentingan peribadi melainkan kepentingan rakyat Sabah pada keseluruhannya,” katanya.

Kelmarin seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan bertindak keluar parti dan menyertai PGRS.

Adun Karamunting, George Hiew Vun Zin adalah wakil rakyat ke-11 dari Warisan yang bertindak meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu.

George memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting atas tiket Warisan pada PRU 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

Mengulas lanjut, Mohd Azis berkata, dakwaan bekas wakil rakyat bahawa mereka membawa ramai ahli parti yang lain bertujuan untuk menyakinkan dan memastikan mereka relevan dalam gabungan itu.

“Sebagai ahli dalam Warisan, kita tahu berapa ahli kita dan siapa ahli kita.

“Tidak dinafikan ada ahli yang keluar namun tidaklah sebagaimana yang digambarkan,” katanya. – Malaysiapost

Komen