PM jamin peruntukan sampai terus kepada rakyat di Parlimen pembangkang
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua peruntukan yang diumumkan kerajaan, sama ada untuk bencana banjir atau projek lain, tetap akan sampai secara terus kepada rakyat walaupun ia tidak disalurkan menerusi Ahli Parlimen.
Jelasnya, kerajaan tidak mengurangkan sebarang projek pembangunan kepada rakyat, termasuk di kawasan pembangkang, sebaliknya ia masih diteruskan walaupun peruntukan masih belum sampai kepada Ahli Parlimen.
Mengambil contoh di Johor, Anwar menegaskan peruntukan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta juga tidak disalurkan kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang juga komponen Kerajaan Perpaduan, sebaliknya diberi terus kepada mangsa banjir.
“Itu (peruntukan kepada Ahli Parlimen) kita bincang dulu, itu bincang dulu (tapi) dia (Muhyiddin) tak bincang.
“Dan bukan (kerajaan) tak bagi (peruntukan). Projek (tetap) berjalan di kampung. Macam RM50 juta, dia bising (kononnya) zalim tak bagi pada negeri, (tapi sebenarnya) di beri kepada mangsa banjir.
“Seperti di Johor, peruntukan RM50 juta diberi kepada yang memerlukan. Tentu kita selaras dengan negeri, tapi tidak kepada negeri.
“Peruntukan Parlimen walaupun belum sampai kepada Ahli Parlimen, dia sampai ke bawah. Projek tak kurang, tak potong. Ini tohmahan politik murahan sahaja,” katanya kepada media ketika hadir melawat pameran Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, yang meminta Anwar menaikkan peruntukan bantuan khas banjir Johor daripada RM50 juta kepada RM100 juta.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu turut mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan berjumlah sekurang-kurang RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, yang kawasan mereka dilanda banjir.
Mengulas mengenainya, Perdana Menteri berkata, kerajaan terbuka berbincang dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengenai perkara itu kepada Ahli Parlimen, termasuk pembangkang yang kawasannya terbabit banjir.
Anwar turut memaklumkan, kerajaan sebenarnya telus menyalurkan peruntukan mencecah RM1 bilion kepada Johor bagi menangani isu banjir, jika turut mengambil kira projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diluluskan di negeri itu.
“Lagi pun, kos tak ada komisyen jadi dia terus kepada mangsa. Kita bagi projek RTB disegerakan. Sebenarnya kalau ikut di Johor, sudah cecah RM1 bilion kalau termasuk RTB,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar membidas tindakan pemimpin PN yang menuduh Kerajaan Perpaduan sebagai zalim dan tidak adil, sedangkan kerajaan negeri yang dipimpin PN juga tidak memberi peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
“Diri dia (juga) tak bagi. Kalau dia kata zalim orang tak bagi (peruntukan pada semua Ahli Parlimen), tak bagi di negeri-negeri dia macam mana? Kategori mana?.
“Jadi guna istilah zalim, adil, guna al-Quran itu untuk ditunggangi oleh puak…tak boleh,” katanya. – Malaysiapost